
Debab Sesat Di Dalam Hutan
Satu hari Debab merayau-rayau didalam kampungnya.. Sampai di hujung kampung beliau ternampak seekor Tenggiling sedang asyik menguis tanah sambil menyanyikan lagu La Isla Bonita.  Menyedari kehadiran Debab , Tenggiling tersebut terus menghilangkan dirinya kedalam belukar sambil tersipu-sipu menahan malu. Wah merdu jugak suara tenggiling tu, berbakat sungguh dia, tapi sayang kalau dia pergi ujibakat Akademi Fantasia  dah tentu kena rejek pasal dia tenggiling bisik hati kecil Debab sambil menggeleng-gelengkan kepala.  
Debab pun meneruskan rayauannya yang tak bertujuan, dia pun tak tahu kemana nak dirayaukan. Ikut suka hati kau lah kaki nak merayau ke mana, asal jangan sampai ke Stesen Angkasa Lepas udah le, kang tak pasal-pasal aku jadi angkasawan bisik Debab pada kakinya. Maka teruslah Debab merayau tak tentu hala hinggalah dia ditegur oleh perutnya . Apabila perut berbunyi barulah Debab ingat nasi, dan bila ingat nasi barulah dia ingatkan rumah , bila teringatkan rumah barulah dia sedar yang dia sudah jauh dari rumahnya. Bila teringatkan gitu maka barulah dia sedar yang dia sudah jauh tersesat kedalam hutan. 
Dalam kepanikan tersebut Debab terus meredah hutan belukar untuk mencari jalan pulang. Sesekali Debab melihat jam tangan yang  baru dibelikan oleh Atuknya semalam di pasar malam. Jam sudah berkali-kali ditengoknya namun dia sendiri tak tahu dah pukul berapa  ialah mana taknya  jam tangan tersebut bukan sahaja tiada jarum malah waktu pun tiada yang ada cuma karekter Power Rangers kaler kuning menghiasi jam tersebut. 
Melihat pada karekter Power Rangers tersebut Debab pun terbayang muka Atuknya.  Tak seiras langsung muka Power Rangers ni dengan muka Atuk bisik Debab  sambil menggaru kepala nya . Tapi.. Atuk cakap dulu dia jadi Ranger hutan... berkerut-kerut dahi Debab yang dibasahi peluh itu memikirkannya. Tetiba dia teringat pesan Atuknya ”Kalau sesat dihujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan” .
Pangkal Jalan? Pangkal...Jalan... berulang-ulang perkataan tersebut meniti di bibirnya. Mana aku nak cari pangkal jalan ni getus Debab. Sedang asyik memerhatikan sekeliling  dia terpandangkan sebatang pokok yang amat besar . Pangkal jalan tak jumpa, pangkal pokok pun jadilah  bukan ke orang tua kata tiada rotan akar pun berguna bisik Debab pada dirinya sendiri ialah takkan nak bisik pada pokok pulak.
Setelah membersihkan pangkal pokok tersebut lebih kurang Debab pun mendudukkan dirinya.  Atuk  ngan Uwan mesti tengah risau ni , Apa aku nak buat ni hah?, Karang duduk lelama kat sini  kena makan dengan rimau pulak. Kalau duduk atas pokok karang kena marah dengan Tarzan pulak. Apa yang aku nak buat ni? Kalau rehat karang tertidur pulak, hari semakin gelap ni .Tak lama lagi nak malam. Takkan aku nak bermalam dalam hutan ni.  Semakin panik Debab bila memikirkan segala kemungkinan. 
Oleh kerana terlalu risau Debab membatalkan hasratnya untuk berehat lantas meneruskan usahanya mencari jalan pulang. Langkah demi langkah diaturnya . Tersungkur dia bangun semula , tersembam pun dia bangkit semula begitulah seterusnya hinggalah  Debab dikejutkan oleh suara mengilai yang amat menyeramkan, terasa menggigil badannya. Debab semakin panik dan hampir nak pitam bila mana  hilaian tersebut semakin kuat  dan semakin kuat ia mengilai semakin kuat pula badannya menggigil  rasa macam nak terkencing  namun di kuatkan hatinya dan cuba bertenang dengan menarik nafas sedalam-dalamnya seperti yang diajarkan oleh atuknya.  Makin dia cuba berlari selaju-lajunya  semakin hampir bunyi hilaian tersebut mengekorinya dan semakin menggigil tubuhnya.
Tetiba Debab nampak satu kelibat  keluar dari celah-celah belukar  lantas menerkam kearahnya lalu berkata  “ Apasal kau tak angkat henpon tu Debab,  puas atuk call, nasib baik ringtone nya kuat kalau tak Atuk tak tahu kau kat sini.    Barulah Debab sedar yang bunyi hilaian tersebut datang dari nada dering telefon bimbitnya sementara kegigilannya tadi pula disebabkan oleh gegaran vibrate  telefon bimbit tersebut.  Akhirnya Debab pun mengikut atuknya keluar dari hutan dan pulang kerumah dengan selamatnya.
Moral: Nak guna nada dering tu patut-patutlah ye
 
Comments
dan berkongsi sesuatu di http;//akujohan.blogspot.com/