Idea Itu Milik Siapa?

 

Idea Itu Milik Siapa?

Oleh Ijoi



Ramai orang melihat saya menggunakan AI hari ini.

Lalu ada yang menyangka semua idea datang daripada AI.

Saya cuma tersenyum.

Kalau mereka tahu perjalanan saya sebelum AI wujud, mungkin mereka akan faham kenapa saya melihat AI hanya sebagai alat.

Dahulu semuanya datang daripada kepala sendiri.

Tiada ChatGPT.

Tiada Gemini.

Tiada Midjourney.

Tiada Flow.

Tiada siapa untuk brainstorming.

Kalau ada seratus idea...

Saya berbincang dengan diri sendiri.

Kalau ada seribu idea...

Saya simpan sendiri.

Kadang-kadang saya melukis sampai subuh.

Kadang-kadang saya menulis sampai tangan lenguh.

Kadang-kadang saya terlupa makan kerana terlalu seronok mengejar idea yang baru muncul.

Begitulah kehidupan saya selama puluhan tahun.


Saya pernah membawa idea kepada beberapa penerbit.

Saya bentangkan dengan penuh semangat.

Saya percaya idea itu mempunyai potensi.

Tetapi ada yang ditolak.

Katanya tidak sesuai.

Tidak komersial.

Terlalu pelik.

Tidak akan menjadi.

Saya pulang dengan rasa kecewa.

Namun yang lebih mengecewakan...

Beberapa ketika kemudian saya melihat konsep yang hampir sama diterbitkan.

Cuma...

Dilukis oleh orang lain.

Perasaan itu sukar digambarkan.

Bukan kerana saya tidak mahu orang lain berjaya.

Tetapi kerana saya tahu idea itu pernah lahir daripada jemala saya sendiri.

Ketika itu saya belajar satu perkara.

Idea adalah sesuatu yang sangat berharga.

Kalau tidak dijaga, ia boleh hilang.

Kalau tidak direkodkan, ia boleh dilupakan.

Kalau tidak dibangunkan sendiri, mungkin orang lain akan membangunkannya.


Sebab itulah saya mula menyimpan semuanya.

Lakaran.

Catatan.

Storyboard.

Sinopsis.

Dialog.

Watak.

Logo.

Dunia.

Lawak.

Punchline.

Semuanya saya simpan.

Bukan kerana kedekut.

Tetapi kerana saya tahu satu hari nanti teknologi akan sampai ke tahap yang membolehkan saya menghidupkan semuanya.

Hari itu akhirnya tiba.

Namanya AI.


Ironinya...

Hari ini ramai menyangka AI menghasilkan idea saya.

Sedangkan hakikatnya...

AI baru muncul selepas lebih 30 tahun saya mengumpul ribuan idea.

AI tidak mencipta Hang Ghimau.

AI tidak mencipta TipTop.

AI tidak mencipta Sayembara Kartun.

AI tidak mencipta Antalogi Kartun.

AI tidak mencipta dunia Mat Jon.

AI tidak mencipta Kus & Bara.

AI tidak mencipta Sayembara Kartun Semesta.

Semuanya sudah lama hidup di dalam jemala saya.

AI cuma membantu saya melahirkannya dengan lebih cepat.


Mungkin itulah sebabnya saya tidak pernah takut dengan AI.

Kerana saya tahu...

Teknologi boleh membantu melukis.

Teknologi boleh membantu mewarna.

Teknologi boleh membantu menghasilkan animasi.

Tetapi...

Imaginasi tetap bermula daripada manusia.

Dan selagi jemala ini masih dipenuhi idea...

Selagi itulah akan ada lagi cerita yang menunggu untuk dilahirkan.



Comments

Popular posts from this blog